Wednesday, August 5, 2015

CERPEN :: CAHAYA BIDADARI

salam. sedari kecil aku memang tidak boleh berpisah dari minat yang satu ini. aku suka membaca cerpen dan novel. jika novel tersebut bukan dalam tulisan braille maka aku tumpang dengar dari rakan-rakan yang boleh membaca tulisan biasa. antara mereka ni termasuklah Haida, Alia, kak Amy, Fizah, Afiqah, Mahsuri, cikgu Din dan entah siapa lagi aku dah lupa. mereka ni kebanyakkan mempunyai minat yang sama. bila kita nak bacakan orang sesuatu, maka kita juga hendaklah menggemarinya. Nor dan Yah juga sering meluangkan masa untuk aku. ni aku kongsikan cerpen yang telah dimuat di wall FB salah seorang rakan. harap terhibur!

Oleh: Iha Zaliza

 

Maisun, bukanlah manusia yang dipuji darjatnya. Namun nama yang dimilikinya itu telah membawanya ke suatu alaf yang terpuji. Maisun juga seperti anak gadis

zaman kini. Suka berfesyen, suka pada kecantikan, suka lagu-lagu techno dan remix, dan suka mengikut apa sahaja seperti remaja lain lakukan. Kalau tak

ikut nanti ketinggalan katanya.

 

Tetapi ada satu kelebihan yang aku lihat ada pada Maisun. Kebijaksanaannya itu telah menjadikan Maisun antara pelajar paling pintar di kampus tempat dia

belajar sekaligus mengharumkan nama Malaysia di bumi Australia ini.

 

Cuma aku sentiasa berdoa agar Maisun diberikan hidayah agar menjadi wanita solehah, yang menjaga akhlak dan ibadah sebaiknya. Dia cantik, dia bijak. Tapi

sayang, dia seksi.

 

Maknunah pula mempunyai sifat malu yang amat tinggi. Maknunah merupakan satu-satunya pelajar di kolej swasta yang menutup aurat sepenuhnya. Belum pernah

lagi aku melihat Maknunah tanpa purdah. Keperibadian Maknunah membuatkan ramai jejaka menghormatinya dan tidak sesekali berani hendak mendekati lalu menguratnya.

 

Namun itu adalah kisah dua sahabat karib yang berlainan jantina di alam maya. Malaeka? Oh, tak tahu nak ulas apa. Tapi yang pasti, kerana dialah aku sanggup

kemari, aku ingin mengenalinya lebih lanjut. Atas bantuan Maisun dan Maknunah, aku dapat berdiri di Sydney untuk mencari ‘insan istimewa’ itu.

 

Aku adalah pelajar tahun empat dalam bidang perubatan di UKM. Dan tahun ini merupakan tahun terpenting untuk aku pelajari dengan lebih mendalam mengenai

Osteogenesis Imperfecta (O.I.); sejenis penyakit keturunan yang masih belum ada penawar untuk mengubatinya.

 

Sedang leka mengkaji penyakit itu, kebetulan Maisun dan Maknunah, sahabatku dari Facebook itu memberitahu bahawa rakan serumah mereka, Malaeka menghidap

penyakit tersebut Jenis Ketiga. Jadi mudahlah untuk aku mengetahuinya melalui pesakit terus.

 

Aku belum pasti samada Malaeka sudah sedia maklum ataupun belum mengenai kehadiranku disini. Aku harap dia tahu. Aku masih teguh berdiri di hadapan bangunan

The University Of Sydney, tempat ‘Tiga M’ itu menuntut. Mana tahu ada rezeki untuk aku bertembung terus dengan Malaeka.

 

Penat semalam masih belum pudar. Selepas bermalam dan bersarapan di Dewan Malaysia yang terletak di 2A Alison Road, Randwick, New South Wales, aku terus

bergegas ke Univesiti Sydney kerana perasaan ingin tahu mengenai O.I. semakin membuak-buak. Sedang leka menunggu sambil membelek-belek telefon pintar,

seorang wanita menyapaku.

 

“Assalamualaikum, Dr. Mahran?”

 

“Waalaikumussalam.. err, ya?” Aku tak cam wajah wanita ini. Bukan Maisun, bukan juga Maknunah. Tetapi dia berkerusi roda. Malaeka?

 

“Doktor ke yang datang sini sebab nak jumpa saya?” Soalnya lembut, sahlah ini Malaeka.

Subhanallah, indah betul ciptaanNya. Disebalik kekurangan, dikurniakan kelebihan pada bahagian lain. Aku mengangguk sambil tersenyum.

 

Malaeka membalas senyumku. Manis sungguh, rasa tidak jemu untuk menatap senyuman itu. Tetapi dengan pantas aku mengalihkan pandangan, aku sedar imanku

tak kuat. Khuatir jika menjadi zina mata.

 

“Macam mana boleh kenal muka saya?”

 

“Facebook kan ada,” seloroh Malaeka. Aku turut tersengih.

 

Kami bertiga menuju ke Perpustakaan Rare Books (The Rare Books Library) atas ajakan Malaeka sendiri. Bertiga bersama sahabat sekuliah Malaeka, Michelle

Meharunnisa Abdullah. Meharunnisa sudah berkahwin dengan lelaki Melayu yang baru sahaja bermastautin disini.

 

Malaeka kata kelasnya sudah tamat untuk hari ini. Jadi aku boleh tanya seberapa banyak soalan mengenai O.I. .

 

“Sejak bila awak sakit?” Tanyaku memulakan mukadimah. Meharunnisa awal-awal lagi sudah meminta izin untuk pergi ke fakulti yang tidak jauh dari sini dengan

segera kerana ada pensyarah memanggilnya.

 

“Sejak lahir,” balasnya tenang sambil mengukirkan senyuman. Terus-terang katakan, aku sungguh lemah ketika melihat senyuman itu. Mungkin lebih afdal aku

menundukkan pandangan. Aku buat-buat sibuk mencatat sesuatu di dalam buku nota.

 

“Boleh kongsikan pengalaman awak sebagai pesakit O.I.? Maksud saya, mungkin awak lebih memahami tentang penyakit ini?” Soalku berhemah, aku kena menjaga

adab dalam komunikasi agar pihak yang menjawab tidak terasa hati dengan kekasaran pertuturanku.

 

“Nanti ada masa saya akan baca buku-buku dari abad ke-15 ini. Nampak macam menarik..” katanya perlahan. Eh, jawapan jenis apa tu? “Err maaf doktor, saya

merepek saja tadi.” Jelas Malaeka dengan nada gurau sambil tersengih. Aku juga turut ketawa dengan telatahnya yang spontan itu.

 

“Sebenarnya penyakit O.I. ni merupakan penyakit keturunan yang mana anak boleh menghidapnya jika si ibu atau bapa adalah pembawa. Tetapi ada juga pesakit

yang menghidapinya sendiri tanpa melalui keturunan, seperti saya. Takdir Allah, siapa tahu.”

 

“Macam mana nak tahu kalau tulang patah?”

 

“Sakit tak terkata, tapi saya tak menangis tau.” Jawabnya seraya ketawa. “Orang yang dekat dengan pesakit pun boleh dengar bunyi tulang patah. Bunyinya

lebih kurang macam masa kita main sendi-sendi di jari tangan.”

 

Aku terdiam, kenapa dia asyik mempamerkan wajah yang ceria ketika menceritakan akan penyakit yang dihidapinya? Aku pernah jatuh motor pada usia belasan

tahun dan patah pada bahu kiri. Memang sakit tak terkata!

 

“Kecilnya tulisan, macam mana nak baca manuskrip ni?” Tiba-tiba Malaeka mengeluh perlahan. Aku perhatikan dia sedang menatap manuskrip dari Boniface VIII

pada abad ke-14. Aku cuba bersabar dengan sikapnya yang seolah-olah tidak mengambil serius perbualan kami.

 

“Maaf! Kali ni saya betul-betul tak sengaja.” Malaeka membuat tanda ‘ampun’ padaku. Serta-merta aku terhibur melihat kerenahnya. “Tak apa, Malaeka. Jadi,

apa tindakan pesakit O.I. bila tulang patah?”

 

“Seeloknya balut pada bahagian yang patah supaya tulang tidak ‘lari’ dari tempat asal. Penghidap O.I. akan mengalami kecacatan fizikal ketika tulang patah

kerana tulang tersebut akan membengkok dan tidak dapat membentuk kembali seperti asal.” Aku mengangguk faham, sambil mencatat apa yang dikatakan Malaeka

tadi, pandangan aku dihalakan pada gadis itu seketika.

 

“Boleh saya tengok tangan dengan kaki awak?” Malaeka terdiam. Aku juga terkejut dengan permintaanku. Aku tahu, agak keterlaluan bunyinya. Malaeka tersenyum

seraya mengangguk. “Boleh doktor, tapi tengok macam ni sahaja ya? Saya tak boleh tunjuk lebih-lebih.”

 

Aku pantas mengangguk untuk mengelakkan salah faham. Aku hanya memandang seketika tangan dan kaki Malaeka dengan ditutupi jubah hitam yang dipakainya.

Aku lihat kakinya pendek dan bengkok. Entah kenapa hati aku tiba-tiba menjadi sayu walhal aku sudah menjumpai lebih ramai pesakit yang mana keadannya lebih

teruk dari Malaeka.

 

“Jadi awak pernah terima apa-apa rawatan yang sesuai untuk penyakit ini?”

 

“Pembedahan dan Pamidronate. Doktor mesti tahu ubat tu, bukan?” Aku mengangguk lagi, memang aku tahu Pamidronate itu merupakan rawatan yang sering digunakan

untuk mengurangkan tahap kekerapan tulang pesakit dari terus patah. Maklumlah, penyakit ini tidak boleh hilangkan terus, hanya boleh kurangkan kesakitan

sahaja.

 

Kali ni aku tidak tahu hendak menyoal apa lagi. Rasanya aku sudah sediakan soalan yang begitu banyak sejak di UKM tempoh hari. Sengaja aku tidak menyimpan

soalan-soalan tersebut kerana aku terlalu yakin yang aku boleh mengingatinya. Tapi aku jadi bingung serta-merta ketika bertemu Malaeka.

 

“Jadi saya rasa kita..”

 

“Bradfield..”

 

Kami bersuara serentak, Malaeka yang sedang membaca nama Dr. J.J.C. Bradfield itu memandangku. Kemudian dia ketawa.

 

“Saya rasa kita tak patut berjumpa di perpustakaan. Ini akan menyebabkan saya hilang tumpuan terhadap semua soalan doktor.” Malaeka berkata perlahan sambil

tersenyum malu. Aku turut ketawa.

“Saya pun rasa macam tu,” usikku lalu kami meneruskan ketawa. Seorang wanita yang kelihatan agak berusia memandang kami dengan pandangan kurang senang.

Segera kami memberhentikan ketawa. “Ini sebab kedua kenapa kita tak boleh ada di perpustakaan, gelak mengilai-ngilai!” Kataku lagi dan kali ini Malaeka

cuba menahan tawanya. Namun aku terkesima seketika semasa melihat lesung pipitnya.

 

Segera aku membuang pandang. Aku terus menyimpan buku nota di dalam poket. “Eh, dah habis?” Malaeka mula pelik. Aku tersenyum dan mengangguk buat kesekian

kali. “Saya sebenarnya terlupa nak tanya apa lagi. Nanti kalau saya dah ingat, kita jumpa lagi ya?”

 

“Saya tak pastilah bila lagi saya ada kelapangan.” Jelas riak bersalah pada wajah Malaeka ketika dia menyatakannya. Segera aku mengeluarkan kembali buku

nota dan menyalin sesuatu di dalamnya, lalu kuhulurkan padanya.

 

“Ini nombor saya, awak boleh telefon atau mesej saya kalau ada kelapangan. Kalau awak ada Whatsapp lagi bagus!” Aku tidak pasti apa yang aku buat sekarang

ni betul atau salah. Sungguh tak tahu malu tindakanku ini. “Err maksud saya, nanti kalau ada kelapangan awak boleh kongsikan lagi fasal O.I. pada saya

tak?” Malaeka tersenyum, tiada lagi kerutan dari keningnya.

 

“InsyaAllah boleh. Saya yakin, Allah akan mudahkan urusan doktor. Bukan senang nak cari doktor yang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mengkaji

penyakit tertentu. Kadang-kadang pelajar tahun empat atau lima akan fikir dua-tiga kali untuk menyoal jawab pesakit walaupun pesakit dah ada kat depan

mata.”

 

Aku hanya menundukkan kepala ketika mendapat pujian. “Saya pun harap matlamat saya dipermudahkan sepanjang seminggu berada disini.” Kataku mengakhiri perbualan

sebelum masing-masing meminta diri untuk pulang ke rumah.

***

Aku tersenyum ketika panggilan ‘doktor’ dari Malaeka itu terngiang-ngiang di telingaku. Aku hendak menghalang dia dari memanggil begitu lagi kerana aku

masih pelajar perubatan, tetapi rasa seronok dan comel pula bila Malaeka yang menuturkannya.

 

“Macam mana? Dah jumpa dia?” Tanya Muhajir setelah aku tiba di rumah sewanya. Memang besar banglo ini, harga sewa pun mesti ‘besar’. “Alhamdulillah, dah.”

 

Muhajir adalah kawan aku semenjak sekolah menengah lagi. Sekarang dia dah bermastautin kat Australia sebab nak jaga syarikat ayah dia kat sini. Kadang-kadang

terfikir juga aku, kenapa Muhajir tinggal di rumah sewa sedangkan dia anak orang kaya.

 

“Wah, jadi kau dapat tanya macam-macamlah tadi ya?” Aku hanya tersenyum nipis. “Sempat tanya yang penting aja.”

 

Muhajir tampak sedikit hairan. “Kenapa pula? Dia ada kelas ke?” Aku menggeleng. “Tak ada, tapi aku yang tiba-tiba tak tahu nak tanya apa. Banyak soalan

yang aku dah lupa, salah aku juga sebab tak salin soalan siap-siap.”

 

Tiba-tiba Muhajir ketawa. “Mesti cun sangat awek tu sampai kau boleh lupa.” Aku juga turut ketawa, hendak mengiyakan kata sahabat aku itu tetapi takut

dia akan salah faham. Memang Malaeka cantik, tapi tak adalah sampai aku jatuh cinta pandang pertama.

 

Muhajir mengajak aku untuk tinggal dirumahnya sepanjang aku berada di Sydney. Banglo itu mula sunyi semenjak teman serumahnya melancong ke Perancis untuk

menghabiskan cuti semester. Dengan kelapangan yang ada aku mula mencari mengenai Osteogenesis Imperfecta kembali di internet. Aku membaca setiap lapan

jenis yang ada dalam penyakit O.I. .

 

Kalau dibaca semua jenis yang ada, memang Jenis Ketiga agak kritikal berbading jenis-jenis yang lain. Jenis ketiga perlukan penjagaan yang begitu rapi

kerana pesakit terlalu senang mengalami kepatahan tulang. Jangka hayat bagi pesakit Jenis Ketiga adalah sama seperti manusia normal, tetapimereka perlukan

sokongan dari segi mental dan fizikal. Di luar negara, pihak hospital tidak membenarkan pesakit disentuh oleh mana-mana petugas akibat tulang pesakit yang

terlalu rapuh.

 

Hanya ahli keluarga mahupun penjaga yang begitu rapat sahaja berhak menjaga pesakit jika mereka tinggal di hospital. Tetapi di Malaysia, tidak ramai yang

mengetahui akan penyakit ini, Osteoporosis lebih popular berbanding Osteogenesis Imperfecta.

 

Fikiranku masih melayang pada Malaeka, bagaimana gadis berusia 25 tahun itu boleh berdikari di Australia seorang diri?

***

Hari ini merupakan hari keempat aku berada di Sydney, semalam aku hanya sempat pergiHarbour Bridge dan Opera House sahaja. Dapatlah juga serba-sedikit

pengalamanmakan laksa di Ipoh On York yang terletak di Jalan York, bertemu dan bergambar denganAborigin.Kemudian sempat makan kebab di Kebab Pizza Pide

sebelum pulang ke rumah sewa Muhajir.

 

Sempat juga aku membeli baju sejuk ketika bersiar-siar di Paddy’s Market. Muhajir sudah senyum mengusik kerana baju sejuk itu aku beli di bahagian pakaian

wanita. Aku tak tahu kenapa aku akan berasa ralat kalau tak membeli apa-apa untuk Malaeka. Dia juga tidak pernah menghantar mesej mahupun menelefonku selepas

pertemuan tempoh hari. Aku rindu dia, tapi aku menganggap itu hanya permainan syaitan yang sedang menghasutku. Sekejap lagi aku akan pergi ke Universiti

Sydney lagi untuk berjumpa Malaeka. Harap dia ada kelas hari ini.

 

Sementaranak bersiap tu aku buka Facebook sekejap di telefon. Aku nampak suatu ‘post’ yang berjaya menarik perhatianku dari Maisun.

 

Kawan-kawan, doakan rakan saya selamat. Tiba-tiba dia sesak nafas dan terus dikejarkan ke hospital. Risau sangat. ?

 

Aku menyoal Maisun dengan pertanyaan ‘siapa?’ di bahagian kotak komen. Dan satu notifikasi muncul di telefon bimbitku. Maisun sudah menjawab pertanyaanku

yang seolah-olah sudah dapat aku mengagak siapakah gerangan yang dimaksudkan.

 

Malaeka. Kau ada kat Sydney lagi, bukan? Datanglah melawat dia..

 

Aku terus bergegas keluar dari rumah setelah mengetahui lokasi Canterbury Sydney. Aku hanya terfikir hendak naik teksi sahaja untuk lebih cepat sampai

ke hospital. Aku terus masuk ke dalam perut teksi dan menghulurkan berapa keping AUD pada pemandu itu. Langsung tidak terfikir hendak mengira harga tambang

teksi itu. Bila pemandu teksi memulangkan baki segera aku menyimpannya di dalam poket. Mengambil masa tidak sampai setengah jam, aku berlari ke bahagian

kecemasan dan hantar mesej pada Maisun melalui Facebook.

 

Kata Maisun, Malaeka berada di wad tingkat dua. Aku menaiki tangga dan terus mencari nama Malaeka pada senarai nama-nama pesakit di setiap wad yang ada.

Selepas jumpa aku meneruskan larian mencari biliknya. Aku membuka pintu bilik tanpa memberi salam terlebih dahulu.

 

Dan…. inilah padahnya bila aku terlalu cemas, aku tidak mampu berfikir dengan lebih rasional bila melakukan sesuatu tindakan. Jelas Malaeka terperanjat

dengan kehadiranku lantas mengambil selimut untuk menutup seluruh tubuhnya.

 

“Maaf!” Serta-merta aku keluar dari bilik sambil menepuk dahi. Astaghfirullah, aku ternampak auratnya. Aku sangat menyesali atas perbuatanku yang mudah

tergesa-gesa.

 

“Dah lama sampai, Mahran?” Sapa Maisun seperti sudah lama bersahabat denganku walhal ini baru kali pertama kami bersua.“Baru sampai.”

 

“Kenapa tak masuk?”

 

“Err, tadi.. dia tak sempat pakai tudung lagi..” jawabku masih berasa serba-salah.Maisun menutup mulutnya. “Maknanya kau nampak..”

“Ya..”

 

Kami sama-sama terdiam seketika. Tidak tahu hendak kata apa lagi. “Maisun, kau masuklah dulu. Kau bagi baju ni kat dia ya.” Aku menghulurkan sebungkus

plastik pada Maisun. “Eh alang-alang kau dah sampai sini, kau jumpalah dia dulu.”

 

“Aku malu..”

 

“Tak apa, bukannya kau sengaja. Kau tunggu sini, biar aku masuk dulu. Kalau dia dah pakai tudung, kau masuk sekali ya?” Maisun mula memberi cadangan. Ada

benarnya, lagipun aku takut aku tak dapat jumpa Malaeka lagi. Aku ingin tahu kenapa dia ditahan di wad.

Dan sejujurnya, aku terlalu rindukan dia.

***

Kejadian pagi tadi masih tidak dapat aku lupakan. Malaeka pun seperti hendak tak hendak sahaja menjawab soalanku. Mungkin dia marah ataupun tidak larat

untuk meneruskan perbualan. Aku semak laporan kesihatan Malaeka. Tulang rusuknya patah ketika hendak bersiap ke kelas jadi dia tidak dapat bernafas dengan

betul. Aku ingin memberikan kata-kata semangat padanyatetapi lidahku kelu.

Nada telefonku berbunyi tanda ada mesej masuk. Aku membukanya dalam keadaan tanda-tanya.

 

Assalamualaikum.. terima kasih doktor. Macam tahu-tahu aja yang saya perlukan baju sejuk. ?

Aku tersenyum, tak sangka senyumanku menjadi lebar setelah membaca mesej dari Malaeka. Selepas menjawab salam, dengan pantas aku membalas mesejnya.

 

Awak jaga diri baik-baik ya. Esok saya ziarah awak lagi. Tapi kali ni saya janji, saya akan bagitahu awak awal-awal yang saya nakdatang melawat awak, okey?

***

 

“Assalamualaikum,” salamku disambut Malaeka dengan mesra. Maisun dan Maknunah akan datang menziarah selepas habis kelas.Meharunnisa pula baru saja balik

dari melawat Malaeka, katanya dia akan cuba semampu yang boleh untuk membantu menyediakan nota untuk Malaeka yang sudah tertinggal kuliah selama dua hari.

Ini semua sumber yang aku perolehi dari Meharunnisa sendiri ketika terserempak di pintu utama hospital.

 

Aku menghampiri katil Malaeka dengan penuh debaran. Kali ini aku mengaku, aku memang sudah jatuh hati padanya. Tak sangka pertemuan ini akan menimbulkan

‘perasaan unik’ dalam masa singkat.

 

“Macam mana hari ini? Pernafasan okey?” Soalku seolah-olah Malaeka adalah pesakitku. Heh, walhal aku masih pelajar, belum layak lagi untuk digelarsebagai

doktor.

 

“Alhamdulillah dah kurang sakit, doktor. Tapi masih takut nak bergerak, nak tarik nafas pun kena perlahan-lahan.” Aku mengangguk faham, simpatiku terhadapnya

semakin meningkat.

 

“Malaeka..” dia memandangku hairan, mungkin terkejut kerana aku jarang memanggil namanya. “Boleh tak saya nak berterus-terang?” Aku memang tak pandai nak

menyembunyikan perasaan ini lagi. Aku tak suka rasa cinta pada seseorang wujud dalam hidup aku kalau tidak diakhiri dengan ikatan yang sah.

 

Kalau jodohku bukan dengan dia, tak mengapa. Sekurang-kurangnya aku sudah menjalankan tanggungjawabku untuk tidak membiarkan rasa cinta ini berlarutan.

 

“Boleh doktor, fasal apa tu? Tentang penyakit saya, ya?” Aku menggeleng laju, bimbang dia risau akan penyakitnya.

 

“Bukan, ini fasal cinta.”

 

Aku memejam mata setelah melihat Malaeka seperti tiada respon. Tanganku digenggam perlahan, cuba mencari kekuatan untuk berterus-terang dengannya. “Saya

mula tertarik dengan awak sejak pertama kali berjumpa. Saya tertarik dengan mata awak yang berwarna biru. Saya tertarik dengan lesung pipit awak dan saya

memang rasa tak jemu tengok awak.

 

Kali kedua kita jumpa, saya ternampak sesuatu yang tak sepatutnya saya lihat. Memang saya yang salah, tapi dalam masa yang sama saya.. saya nak tatap lagi

wajah awak macam semalam. Saya tahu, apa yang saya kata ni agak teruk, sebab itulah sebelum saya balik Malaysia..”

Aku pandang wajah Malaeka dengan tepat dan serius.

 

“Saya nak lamar awak, untuk jadi isteri saya.”

 

Bulat mata Malaeka memandangku. Kalau aku berada ditempatnya pun pasti akan terkejut. Tak lama kemudian, dia tersenyum tawar. “Doktor, saya nak rehat.”

“Malaeka..”

 

“Baliklah doktor, saya nak tidur sekejap.” Aku tergamam setelah Malaeka bertegas berkata begitu. Aku tiada pilihan, mahu tak mahu aku terpaksa melangkah

keluar dari bilik dengan langkah yang berat. Memang aku kecewa dengan respon yang diberikan Malaeka, kerana perbualan kami tergantung begitu sahaja.Aku

berasa malu hendak berjumpa dengannya lagi. Bukan malu kerana keadaan kesihatan Malaeka, tetapi malu akibat rancanganku yang tidak menjadi kenyataan. Derap

langkah diteruskan diiringi kekecewaan yang membisa hati ini….

***

Aku mengemas beg pakaian tanda perjalananku di Sydney sudah hampir ke penghujungnya. Malam selepas kejadian lamaranku ditolak, Malaeka ada menghantar sepucuk

surat untuk aku. Surat itu sempat dikirimkan Maisun ketika aku menenangkan diri di kafe hospital. Sehingga kini aku tidak tahu hendak membalas apa, kerana

aku rasa bersalah dengan perbuatanku tempoh hari.

 

Assalamualaikum doktor.. pertama sekali, saya ingin memohon ribuan ampun dan maaf kerana bertindak kurang sopan siang tadi. Maaf.. ?

 

Saya rasa, itu tindakan paling sesuai untuk saya lakukan. Kalau kita teruskan perbualan, mesti saya akan menangis di hadapan doktor. Saya tak nak macam

tu. Doktor tahu kenapa saya jadi kurang ajar tadi? Sebab saya sangat susah nak percaya bahawa ada insan yang boleh jatuh hati terhadap saya.

 

Bila doktor adakan sesi melamar tadi, hati saya seperti disiat-siat. Seolah-olah ada lelaki yang sedang mempersendakan saya. Mana mungkin ada insan yang

akan cintakan saya. Ramai lagi wanita diluar sana yang layak dan sangat sesuai dijadikan sebagai isteri doktor, bukan saya. Saya sedar siapa saya….

 

Saya pernah bertunang, tetapi tunang saya meninggal dunia akibat penyalahgunaan dadah. Arwah dikebumikan tidak jauh dari tempat saya tinggal. Sebab itu

saya sanggup belajar dan dan ambil kos yang sama dengan arwah, sebab saya nak rasa apa yang bekas tunang saya alami sepanjang belajar disini. Kata keluarganya,

tunang saya terlalu tertekan ketika tinggal di Australia. Tetapi satu hari, Allah tunjukkan saya siapa kawan-kawannya. Mereka sekelas dengan saya, rupanya

merekalah yang mengajaknya untuk menjadi penagih dadah dan nak dijadikan cerita lagi, arwah ada lagi dua orang teman wanita dari negara ini.

 

Memang saya rindukan arwah, tapi dalam masa yang sama saya rasa malu sangat kerana selama ni saya sangka diri saya layak memiliki cinta. Kalau layak, takkan

mungkin nasib saya begini.

 

Doktor, terima kasih atas luahan hati doktor sebentar tadi. Saya terharu, tapi saya masih belum boleh lupakan peristiwa itu. Kalau benar apa yang doktor

katakan tadi, sama-sama kita mohon pada Allah S.W.T. , mohon agar kita diberikan petunjuk. Kalau sebaliknya, anggaplah kita tak pernah bersua….

 

Air mataku mula bergenang. Pelik sungguh kerana aku terlalu mudah merasa sayu jika ianya berkaitan dengan Malaeka. Dengan tulisan tangan yang tidak berapa

jelas dakwatnya, aku mengerti bahawa keadaan Malaeka kini begitu lemah. Mungkin tangannya tidak kuat untuk menekan mata pen di atas kertas. Kesudahan kami

berakhir disitu sahaja.

***

Setelah tiga tahun masa berlalu, aku sudah berjaya menamatkan pelajaran di UKM, kini aku sudah memiliki sebuah klinik di luar bandar. Setiap hujung minggu,

aku akan adakan satu seminar mengenai penyakit-penyakit yang jarang didengari di Malaysia. Aku akan buktikan bahawa aku boleh pikul tanggungjawab tersebut

setelah menjadi doktor. Bagiku, jadi doktor bukan untuk mengejar kerjaya dan gaji semata-mata, namun sokongan moral terhadap pesakit juga amat penting.

 

Dalam masa tiga tahun ini, aku sudah berjumpa dengan ramai wanita. Wanita-wanita itu telah termasuk dalam senarai untuk menjadi calon isteriku. Itu belum

lagi pilihan kedua orang tuaku.

Namun aku percaya pada takdirNya dan aku lebih percaya pada apa yang telah tertulis untukku.

 

Nur Malaeka Muayyad, akhirnya dialah wanita yang dipilih oleh Allah untuk dijadikan sebagai teman sehidup sematiku. Kami pergi dan elak macam mana sekalipun,

ada saja kejadian yang akan membuatkan kami terserempak dan berjumpa ketika masing-masing berada di ibu kota.

 

Aku bertemu dengan Malaeka pada bulan lepas ketika mencari ensiklopedia kesihatan di perpustakaan awam. Wajahnya dah lain, semakin kurus tetapi semakin

cantik. Sekarang dia menjadi pensyarah dalam jurusan muzik di kolej swasta selepas tamat belajar dalam bidangDoctor of Musical Arts. Selama ini aku benar-benar

lupa hendak bertanya kos apa yang diambilnya. Maknanya kami sama-sama sudah bergelar doktor sekarang.

 

Kami menahan tawa apabila ditakdirkan untuk bertemu sekali lagi di perpustakaan. Cuma lokasinya sahaja yang berbeza. Akibat terlalu sibuk dengan kerjaya

masing-masing, kami hanya sempat bertukar nombor telefon dan e-mel ketika pertemuan di perpustakaan itu.

 

Dua minggu kemudian, aku terus bernikah dengannya setelah kami yakin bahawa jodoh kami memang sudah tertulis. Ramai yang mengenaliku tidak menjangka dan

terkejut dengan pilihanku. Jawapan aku mudah sahaja, Malaeka bermaksud bidadari. Jadi aku berasa sangat beruntung kerana dijodohkan dengan Cahaya Bidadari.

 

Aku ingat lagi pesananku pada Malaeka diawal perkahwinan.

 

“Jangan ingat takkan ada manusia yang sayang pada kita. Walau tak sesempurna manapun diri kita, akan ada insan yang menghargai kekurangan dan kelebihan

kita. Kalau tak ada, yakinlah bahawa Allah telah tetapkan yang terbaik di syurga nanti.”

 

“Terima kasih, abang. Terima kasih banyak-banyak.” Katanya sayu pada malam itu, tubir matanya bergenang dengan manik-manik jernih. Malam itu Malaeka tidak

berapa sihat kerana kurang cukup rehat ketika persiapan untuk majlis pernikahan. Aku mengusap bahunya perlahan.

 

“Bidadari abang kena kuat, pedulikan apa orang akan kata pada Bidadari nanti. Kalau ada yang mengeji atau mencaci, anggaplah itu satu tiket untuk Bidadari

mudah pergi ke syurga kelak.” Aku suka memanggilnya Bidadari. Panggilan itu membuatkan aku berasa isteriku lebih istimewa dari wanita lain. Dia hanya tersenyum

nipis dan mengangguk tanda akur.

 

Jangan jadikan penyakit yang dihidapi sebagai alasan untuk kita tidak berhak mendapat cinta.

-TAMAT-

No comments:

Post a Comment