Monday, November 13, 2017

TABAHKAN AKU


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam hari isnin.

 

Setiap hari cerita pasti berbeza. Ada duka dan ada bahagia. Ada gundah dan juga gembira. Inilah resam kehidupan manusiawi. Nikmatilah hidup yang diberi sementara ini. Hadapi dengan tenang selagi berdaya. Himpunkan kekuatan wahai manjalara. Jangan kau mengalah walaupun setiap kali kau diuji. Bila rebah bangkit dan bangunlah semula. Jangan dihirau sinis mata yang memandang. Biarkanlah mereka. Bila diarah kamu lakukan. Bila diminta kamu kerjakan. Jangan banyak bicara Manjalara kerana tiada siapa yang sudi meladeni nasib kamu. Serahkan saja aturan ini pada Yang Maha Kuasa. Pasti kau tak bersedih dan berhati walang. Terima segala ketentuan yang telah disuratkan kepada kamu tanpa sebarang bantahan. Redha itulah pilihan kamu.

 

Jangan sakiti hati insan yang menyayangi kamu iaitu suamimu. Jangan bercakap kasar atau berlaku derhaka padanya. Maafkan aku ya Rabbi. Sering juga aku khilaf dalam menempuhi ranjau. Melukakan yang banyak berbudi padaku. Rahmati suami ku dan lindungi dirinya walau di mana dia berada. Berilah aku peluang menikmati rimbunan cinta kasihnya di sepanjang usia ku. Semoga dia memaafkan walau sekelumit zarah perbuatan ku yang melukakan hatinya. Ampunkan aku hingga ke hujung nyawa.

 

Ada kisah di sebalik tulisan ini sebenarnya. Namun biarkan hati ini berbicara. Kekhilafan pada aku yang sarat mengandung 28 minggu. Kisah tempahan bayner di Shah Alam untuk kegunaan rakan yang ingin mula berniaga. Mujur suami tidak melenting dengan tingkah ku yang agak menggila. Aku mengomel tak henti-henti menyalahkan dirinya. Lambat bertindak dan menunggu masa last minute saja. Rajuk ku bawa dengan menghempas badan ke tilam. Mujur dia mampu bersabar. Bersabar dengan rengekan aku. Pukul 11.00 malam barulah kami tiba di rumah dengan menunggang motor dari Bangi ke Shah Alam. Akhirnya aku terlelap dan rasa marah itu berlalu pergi. Tapi. Tapi. Tapi. Aku tidak boleh selalunya begini. Semestinya aku perlu pujuk hati agar sentiasa bertenang dan bersabar. Faham akan keletihan suami. Tidak mendesak secara bertubi-tubi. Ya Allah, semoga kau perkuatkan ikatan kami walau saban hari ada ujian yang mendatang. Aamiin!

 

Lain ujian di pejabat. Datang memo yang meminta aku hadir ke kursus. Nama aku dan Nadia. Aku resah. Resah kerana kebaikannya. Kebaikan yang terserlah sejak bertugas di Shah Alam lagi. Kenapa tidak nama orang lain. kenapa ya? Apakah hikmah itu? Tiada orang lainkah di sini yang boleh jadi seperti dia. Entah aku takut untuk memikirkannya. Di Shah Alam, aku punya ramai yang seperti Nadia. Tapi sedikit demi sedikit, mereka dipisahkan dari ku. akhirnya aku sendiri yang tercampak ke tepi. Cekalkah hatiku untuk melalui detik-detik ini sehingga ke akhirnya? Kurang sempurna menjadikan aku tidak bernilai di pandangan mereka.

No comments:

Post a Comment