Wednesday, October 11, 2017

SEDIHNYA TERPAKSA BERJAUHAN

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pagi ini ketika ku on PC, ingin aku coretkan secangkir kisah yang melingkari hati. Kesedihan bertandang meraut seluruh rasa membuatkan aku tak betah untuk memulakan apa sahaja. Serasanya ingin sahaja aku mengisi masa dengan bermenung seharian di rumah namun apalah dayaku yang bekerja makan gaji. Biar ku nukilkan agar sedikit sebanyak terlepas beban kesedihan yang kutanggong. Petang semalam setelah 9 hari cek dan ayah bertamu di rumah, aku perlu melepaskan dia pulang ke laman kelahiran. Ya di tempat sebahagian diriku dibersarkan. hujan yang renyai turun seolah memahami hati ini sedang menangis pilu. Sepulang aku dari kerja, di tempat biasa suami memarkir motor kutemui Danial dan ditemani cek sedang bermain sambil menunggu kami. pastinya Danial ingin membonceng motor menjemput Adam di sekolah. namun kerana luka di tangan akibat terjatuh semasa berbasikal dan hujan abah tidak membenarkan dia ikut bersama. pastinya ku akan terkenang semasa pulang di saban petang. inilah kesakitan yang sedang ku alami. perlu berjauhan dari anak kedua yang begitu manja dan punyai pelbagai kerenah.

naik sahaja ke rumah, dia merajuk di dalam bilik ku. badan dihempas ke tilam, menekup muka sambil menangis. tak betah untuk aku pujuk kerana hatiku turut menangis sama mengenangkan perpisahan yang bakal terjadi sedikit masa lagi. kugagahkan jua melayani kerenah dia di kala badan keletihan dan perasaanku yang bungkam. sekembalinya abah dari menjemput Adam, sedikit sebanyak meredakan rajuk Danial. abah mengangkat Danial ke ruang tamu kerana aku tak mungkin berbuat demikian dek kandunganku yang sudah beranjak ke 6 bulan. setelah menjamah nasi lemak kukus yang ku pesan, kami bersiap-siap untuk menghantar Danial, cek dan ayah ke stesen bas Kajang. Sebelum itu, sempat abah membawa Danial ke rumah aki dan wan pengasuh sementara Danial untuk bersalam-salaman. apa yang membuatkan aku terkilan, Danial merajuk dan tidak benarkan aku menyapu minyak gamat pada lukanya. namun yang lebih membuatkan aku walang, jari kelingking Danial bengkak kerana digigit serangga dipercayai lebah namun tak sempat aku rawat dan ubati. berkali-kali ku titip pesan pada cek agar segera membawa Danial ke klinik sebaik tiba di Kelantan. Jarinya bengkak, membesar, panas dan tidak boleh dibengkokkan. Semoga cepat permata hati ummi sembuh. Kami tidak menunggu bas memutar roda, sebalinya terus pulang kerana ditakuti kolam mataku yang bertakung si airmata akan pecah bila-bila masa. di rumah kumembaringkan diri bagi menghapus resah di dada. Jika aku punya rezeki berlebihan, mahu saja ku pulang ke kampong saban minggu menjenguk permata hati tanpa menghirau keletihan dan keuzuran diri. Semoga Allah melindungi insan-insan yang menjadi kesayanganku.

No comments:

Post a Comment