Monday, October 16, 2017

PERSIAPAN CAHAYA MATA KETIGA


Bismillahirahmanirrahim.. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.. salam hari isnin.


 

Sempena cuti sekolah Deepavali selama seminggu maka perlu ku membawa Adam ke tempat kerja. Sebenarnya aku tak berapa suka nak bawa anak ke pejabat, namun kerana tempat transit tutup terpaksalah ku redah saja. Dek kerana tak mahu menyusahkan orang-orang sekeliling, bertemankan iPhone diharap Adam betah selama 4 hari di sini. Takkan nak minta abahnya bawa pula. Dia kan kerja di bahagian logistic & transportation mana boleh ada gangguan. Mujur aku bekerja JKM yang sangat prihatin akan kanak-kanak. Satu kelebihan kiranya. Selain itu, audit dalaman MS ISO juga telah ditangguhkan. Hehehe.

 

Namun bukan itu yang menjadi titik tolak kepada pembicaraan entri kali ini. Sebenarnya setelah menyepi diri selama hamper 6 tahun dari dunia kehamilan, aku dan hubby bersetuju untuk menimang satu lagi cahaya mata. Menjadikan 3 orang Insyaallah. Alhamdulillah tanggal 16 Jun 2017, berpandukan UPT sahlah di dalam rahim ku tumbuh janin lagi. Bakal cahaya mata ketiga kami. Hasil ujian scan yang kulakukan pada 29 Julai 2017 di Klinik Sri Indah bersama Dr Zulailah, memang ternyata benar satu janin sedang membesar di dalam perutku sekitar 13 minggu. Sesungguhnya aku bersyukur sangat kerana masih berpeluang mengandungkan zuriat buat hadiah dan tanda pengorbanan pada suami. Aku dijangka akan bersalin pada 30 Januari 2018. Namun jantina masih kabur dan samar-samar. Berdasarkan kebiasaan jika sukar alat kelamin kelihatan, kemungkinan yang tinggi adalah bayi perempuan. Pada 1 Ogos 2017 secara rasminya buku merah ketiga dilancarkan. Mulai saat itu, aku sudah memasang angan yang anak kami ini perempuan. Suami tetap mengingatkan aku agar jangan terlalu berharap. Tapi di saat mengandung kali ini, aku terasa benar kelainannya. Pastinya aku sangat mengharap kehadiran seorang anak perempuan setelah kedua anak kami sebelum ini adalah lelaki. Setiap kali perut ini ku sentuh dan pegang, selalu aku bahasakan bayi ku puteri. Ini kerana aku sangat suka panggilan itu diberi pada cahaya mata perempuan kami. Akan lengkaplah kehidupan kami sekeluarga andai Allah mengizinkan. Aku merasa puteri ku sangat kuat dan akan tabah melalui dugaan sepanjang di dalam perut dan apabila telah dilahirkan nanti. Mana taknya aku telah ditukarkan tempat kerja dari JKMN Selangor di Shah Alam ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat di Kajang. Kami hanya berulang-alik menaiki motor sehaja. Alhamdulillah Allah selamatkan kami di sepanjang perjalanan.

 

Pada pagi sabtu lepas disaksikan suasana pagi shahdu nan hening, sekali lagi aku bersua dengan DR Zulailah bagi ujian scan seterusnya. Kali ini kami bertiga menaiki motor menuju ke Batu Caves. Hasil scan telah merentap separuh kegembiraan aku. Suami berlagak tenang namun di dalam hatinya mungkin ada menyimpan sedikit kecewa. Jantina terpampang jelas bayi lelaki juga untuk kurniaan kali ini. Aku terpempan saat dikhabarkan. Setelah keluar dari klinik, aku menangis semahu-mahunya. Sukar untuk terima khabar kali ini. Puteri yang kudamba tapi putera yang menjelma. Bahkan aku turut dimaklumkan bahawa kepala bayi ku berada di atas. Patutlah saiz perut ini tidak berapa membesar. Aku masih boleh memakai beberapa helai baju kurung seperti biasa. Meskipun kandungan memasuki usia 25 minggu. Sesampai di warung sarapan kegemaran, aku masih lagi terkujat menahan rasa. Terngiang kata DR apalah daya kita, yang penting bayi itu lahir dengan selamat, sihat dan sempurna. Bertambah terpana ku dibuatnya. Beliau pun punya 4 perempuan dan yang terakhir baru lelaki. Begitu juga kakak ku punyai 5 perempuan dan hanya si bongsu lelaki. Suami ku sendiri punya 4 lelaki dan 1 perempuan. Aku pula ada 3 perempuan 1 lelaki.

 

Untuk merawat hati ku luah bicara dengan suami. Hubby mengingatkan agar tidak terlalu memikirkannya. Lelaki mahupun perempuan keduanya anugerah Allah yang perlu dijaga, dibelai dan diberi kasih-sayang secukupnya. Kenangkanlah pada mereka yang masih belum dikurnia zuriat aku turut menasihatkan aku sendiri. Pulang ke rumah aku kembali lagi menangis bertemankan bantal. Melepas walang di dada hingga bawa ke petang. Kuhubungi cek memberitahu kisah. Takdir untuk ku 3 putera hati. Semoga menjadi zuriat soleh serta Berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin.

 

Hingga ke tengah malam aku tetap meratap hiba. Dalam jaga mahupun lena. Mendatangi ku bisikan-bisikan syaitan yang mengharukan. Ingin memesong iman di hati insan kerdil. Ku kejjut suami agar menemani ku yang meratap luka. Hingga aku tertidur semula. Pada petang menjelang malam, kubawa kaki k Warta, Kompleks PKNS dan Mamaya Zon bagi mengalih tumpuan dan perhatian. Namun usaha ku gagal. Masih aku berada di awang-awangan. 1 biji bag pad hubby beli bagi menceriakan keadaan ku. Masih juga aku belum reda. Akhirnya aku buat keputusan untuk ke Sogo membeli-belah sedikit persiapan dan keperluan si bayi agar luka ini tidak perlu aku usung setiap masa. Akhirnya ku redha dan pasrah. Sebagai selingan : tahniah di atas kelahiran bayi lelaki oleh pelakon Amira Rosli pada 15 Oktober dan berita kehamilan Dato’ Siti Nurhaliza berusia 4 bulan melalui kaedah IVF. Semoga aku menjadi lebih tabah dan bersyukur. Alhamdulillah aku seronok membeli-belah semalam dan sangat teruja untuk menyambut ahli baru dalam keluarga kecil ku. Semoga Allah mengizinkan dan meredhai. Semoga kandungan ini baik-baik  saja dan selamat hingga aku melahirkan dengan sempurna. Aamiin.

No comments:

Post a Comment