Monday, October 23, 2017

BERITA DUKA SAHABAT


Bismillahirahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh.

 

Salam hari isnin dan selamat memulakan rutin bekerja bagi minggu yang baharu.

 

            Rasanya perlu untuk aku  mencatatkan sebuah entri  bagi mengenang kisah tragis ini. Meskipun ceritera ini menimpa rakan namun tak ku nafi sedikit sebanyak hatiku turut tercalar. Rakanku ini seorang pegawai, telah berkhidmat hamper 10 tahun since 2008. Namun kenapa? Sumbangannya bagai dinafi sehingga kini. Tidak dipandang walau hanya dengan ekor mata. Kejamnya manusia yang bangga dengan kesempurnaan pinjaman dari tuhan buat mereka, namun angkuh apabila berdiri sesama manusia. Menolak ketidaksempurnaan itu bagai mengutuk ciptaan Yang Maha Kuasa. Bilakah diskriminasi ini akan berakhir? Apakah selamanya kami akan dipinggir? Sebagai OKU menumpang di sudut bumi! Ya sememangnya ya! Tak perlu lagi untuk aku bertanya soalan sebodoh itu. Semuanya telah aku tahu dan kami tahu akan jawapannya. Tapi mungkin ada antara kami bengkit dengan penuh ceria di celah-celah tangisnya kami. Syukur atas nikmat yang telah diberi pada kalian. Detik-detik yang kami lalu sangat hambar. Baru sekejap tadi ada rakan yang update di FB mengenai jatuhkah darjat jika hulurkan bantuan pada kami?? Lunturkah level andai bergaul dengan kami? Serongkah masyarakat memandang kamu jika di sisimu ada kami? Kalau itulah semua. Berlalulah. Berlalulah dari kami! Tak kami harap sekelumit bantuan dari orang seperti kamu. Tak kami dahagakan belas simpati dari kepuraan kamu. Menjauhlah kamu dari kami. Jangan biarkan hati kami membusuk seperti hati kamu. Jangan tonjolkan muka di hadapan kami pun. tapi orang seperti kamu akan selalu datang menghantui kami, mendekati kami. Sebahgian dari ujian maha hebat buat kami. Kerana orang seperti kau ada di antara kami.

 

Di suatu hari dia mengkhabari aku berita gembira. Dari Putrajaya dia akan bertukar khidmat di salah sebuah institusi di Sungai Besi. Wah! Dalam hati ku melonjak bahagia. Mana taknya pada tangggapan ku sebagai kakitangan / pegawai nasibnya pasti terbela di sana. Tentu pelbagai pengalaman baru yang pasti digali dan ditimba, setelah bergelumang hamper 10 tahun di ibu pejabat. Lainlah aku yang hanya mampu melukut di tepian gantang. Tak siapa kisah akan diri ini. Tiada yang mahu menyapa apatah lagi untuk membela. Berterbangan lemah bagai burung kepatahan sayap di waktu pagi mencari secangkir rezeki. Berkali-kali tahniah aku ucapkan di samping mendoakan dia akan berada dalam keadaan yang lebih baik dari sebelum ini. Nasibnya lebih beruntung pada aku kerana punya rakan sekerja yang memahami.

 

Setelah dia selamat melapor diri, aku masih lagi terkasima saban hari menunggu berita dan update darinya. Wow! Sekelip mata dia boleh mengenali rakan sekerja yang sudi membantu di kala dia memerlukan bantuan. Hati aku berdetik. Seronoknya dia di sana meskipun terpaksa menempuh sedikit perjalanan yang agak jauh. Namun jika itu membahagiakan dan mendatangkan kepuasan apalah salah untuk diterokai. Aku hanya menjadi saksi dari kejauhan.


Setelah hamper seminggu bertamu di sana, saat hening suatu malam di kala aku sedang bergerak ke Mum’s Baby Shop di Bangi Gate Way, iPhone ku berbunyi menandakan ada panggilan masuk. Ku slaid dan mendengar nama pemanggil yang dimaksudkan. Aku digamit resah. Tak selalunya dia menghubungi ku di hujung minggu begini lebih-lebih lagi pada waktu malam. Panggilan aku jawab disulami pertanyaan di dalam hati. Suara sendu dan hiba menyambar gegendang telinga ku. Apa sebenarnya yang terjadi pada dirinya? Celah hatiku. Dengan tangisan bernada kecil, pilu dia menceritakan bahawa penempatannya di sana telah ditarik kembali dan dia perlu kekal di tempat asal. Dump! Terasa ingin luruh jantung ini pada saat itu juga. Apa maksud mereka berbuat demikian? Menolak mentah-mentah kehadiran kakitangan OKU ke jabatan mereka. Sementelah lagi OKU penglihatan. Apa salah kami? Mengapa begitu sinis pandangan terhadap kami? Mengapa ketidaksempurnaan ini sering menjadi tali pengukur prestasi dan potensi kami? Tidak bolehkah dilihat dari sudut yang berlainan? Hati ini jadi disimbahi bara serta-merta. Rasa ingin saja berbicara pada dunia. Mengapakah kalian mengetepikan ciptaan tuhan. Menolak kurniaan dari Yang Maha Kuasa? Menidakkan sebahagian yang terjadi di muka bumi ini? Berilah peluang pada kami. Nilai kami bukan dari sudut kelemahan. Yakinkah kalian bahawa diri kalian benar-benar sempurna. Pasti lebih lagi perasaannya yang terasa bagai maruah dipijak ke lantai. Bagai diri tiada guna. Habis! Apakah makna sumbangan selama ini? Tak bererti langsung pada pandangan mata mereka.

 

Jika aku ditempatnya semesti aku akan hilang ketabahan. Bagaimana nak dihadap masa yang kehadapan. Sedih dan pilu sentiasa bermain d ruang minda. Kembali ke tempat asal seolah-olah bagai dicampak seperti sampah. Menyusuri hari muka ibarat lebih kelam dari hilangnya cahaya di mata kami. Ya! Tak siapa akan mengerti perasaan kami, melainkan yang benar-benar melaluinya. Kurniakanlah balasan setimpal pada orang-orang yang bertindak kejam dan zalim terhadap kami sebagi tanda kebesaranMu. Aamiin!

Monday, October 16, 2017

PERSIAPAN CAHAYA MATA KETIGA


Bismillahirahmanirrahim.. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.. salam hari isnin.


 

Sempena cuti sekolah Deepavali selama seminggu maka perlu ku membawa Adam ke tempat kerja. Sebenarnya aku tak berapa suka nak bawa anak ke pejabat, namun kerana tempat transit tutup terpaksalah ku redah saja. Dek kerana tak mahu menyusahkan orang-orang sekeliling, bertemankan iPhone diharap Adam betah selama 4 hari di sini. Takkan nak minta abahnya bawa pula. Dia kan kerja di bahagian logistic & transportation mana boleh ada gangguan. Mujur aku bekerja JKM yang sangat prihatin akan kanak-kanak. Satu kelebihan kiranya. Selain itu, audit dalaman MS ISO juga telah ditangguhkan. Hehehe.

 

Namun bukan itu yang menjadi titik tolak kepada pembicaraan entri kali ini. Sebenarnya setelah menyepi diri selama hamper 6 tahun dari dunia kehamilan, aku dan hubby bersetuju untuk menimang satu lagi cahaya mata. Menjadikan 3 orang Insyaallah. Alhamdulillah tanggal 16 Jun 2017, berpandukan UPT sahlah di dalam rahim ku tumbuh janin lagi. Bakal cahaya mata ketiga kami. Hasil ujian scan yang kulakukan pada 29 Julai 2017 di Klinik Sri Indah bersama Dr Zulailah, memang ternyata benar satu janin sedang membesar di dalam perutku sekitar 13 minggu. Sesungguhnya aku bersyukur sangat kerana masih berpeluang mengandungkan zuriat buat hadiah dan tanda pengorbanan pada suami. Aku dijangka akan bersalin pada 30 Januari 2018. Namun jantina masih kabur dan samar-samar. Berdasarkan kebiasaan jika sukar alat kelamin kelihatan, kemungkinan yang tinggi adalah bayi perempuan. Pada 1 Ogos 2017 secara rasminya buku merah ketiga dilancarkan. Mulai saat itu, aku sudah memasang angan yang anak kami ini perempuan. Suami tetap mengingatkan aku agar jangan terlalu berharap. Tapi di saat mengandung kali ini, aku terasa benar kelainannya. Pastinya aku sangat mengharap kehadiran seorang anak perempuan setelah kedua anak kami sebelum ini adalah lelaki. Setiap kali perut ini ku sentuh dan pegang, selalu aku bahasakan bayi ku puteri. Ini kerana aku sangat suka panggilan itu diberi pada cahaya mata perempuan kami. Akan lengkaplah kehidupan kami sekeluarga andai Allah mengizinkan. Aku merasa puteri ku sangat kuat dan akan tabah melalui dugaan sepanjang di dalam perut dan apabila telah dilahirkan nanti. Mana taknya aku telah ditukarkan tempat kerja dari JKMN Selangor di Shah Alam ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Hulu Langat di Kajang. Kami hanya berulang-alik menaiki motor sehaja. Alhamdulillah Allah selamatkan kami di sepanjang perjalanan.

 

Pada pagi sabtu lepas disaksikan suasana pagi shahdu nan hening, sekali lagi aku bersua dengan DR Zulailah bagi ujian scan seterusnya. Kali ini kami bertiga menaiki motor menuju ke Batu Caves. Hasil scan telah merentap separuh kegembiraan aku. Suami berlagak tenang namun di dalam hatinya mungkin ada menyimpan sedikit kecewa. Jantina terpampang jelas bayi lelaki juga untuk kurniaan kali ini. Aku terpempan saat dikhabarkan. Setelah keluar dari klinik, aku menangis semahu-mahunya. Sukar untuk terima khabar kali ini. Puteri yang kudamba tapi putera yang menjelma. Bahkan aku turut dimaklumkan bahawa kepala bayi ku berada di atas. Patutlah saiz perut ini tidak berapa membesar. Aku masih boleh memakai beberapa helai baju kurung seperti biasa. Meskipun kandungan memasuki usia 25 minggu. Sesampai di warung sarapan kegemaran, aku masih lagi terkujat menahan rasa. Terngiang kata DR apalah daya kita, yang penting bayi itu lahir dengan selamat, sihat dan sempurna. Bertambah terpana ku dibuatnya. Beliau pun punya 4 perempuan dan yang terakhir baru lelaki. Begitu juga kakak ku punyai 5 perempuan dan hanya si bongsu lelaki. Suami ku sendiri punya 4 lelaki dan 1 perempuan. Aku pula ada 3 perempuan 1 lelaki.

 

Untuk merawat hati ku luah bicara dengan suami. Hubby mengingatkan agar tidak terlalu memikirkannya. Lelaki mahupun perempuan keduanya anugerah Allah yang perlu dijaga, dibelai dan diberi kasih-sayang secukupnya. Kenangkanlah pada mereka yang masih belum dikurnia zuriat aku turut menasihatkan aku sendiri. Pulang ke rumah aku kembali lagi menangis bertemankan bantal. Melepas walang di dada hingga bawa ke petang. Kuhubungi cek memberitahu kisah. Takdir untuk ku 3 putera hati. Semoga menjadi zuriat soleh serta Berjaya di dunia dan akhirat. Aamiin.

 

Hingga ke tengah malam aku tetap meratap hiba. Dalam jaga mahupun lena. Mendatangi ku bisikan-bisikan syaitan yang mengharukan. Ingin memesong iman di hati insan kerdil. Ku kejjut suami agar menemani ku yang meratap luka. Hingga aku tertidur semula. Pada petang menjelang malam, kubawa kaki k Warta, Kompleks PKNS dan Mamaya Zon bagi mengalih tumpuan dan perhatian. Namun usaha ku gagal. Masih aku berada di awang-awangan. 1 biji bag pad hubby beli bagi menceriakan keadaan ku. Masih juga aku belum reda. Akhirnya aku buat keputusan untuk ke Sogo membeli-belah sedikit persiapan dan keperluan si bayi agar luka ini tidak perlu aku usung setiap masa. Akhirnya ku redha dan pasrah. Sebagai selingan : tahniah di atas kelahiran bayi lelaki oleh pelakon Amira Rosli pada 15 Oktober dan berita kehamilan Dato’ Siti Nurhaliza berusia 4 bulan melalui kaedah IVF. Semoga aku menjadi lebih tabah dan bersyukur. Alhamdulillah aku seronok membeli-belah semalam dan sangat teruja untuk menyambut ahli baru dalam keluarga kecil ku. Semoga Allah mengizinkan dan meredhai. Semoga kandungan ini baik-baik  saja dan selamat hingga aku melahirkan dengan sempurna. Aamiin.

Wednesday, October 11, 2017

SEDIHNYA TERPAKSA BERJAUHAN

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pagi ini ketika ku on PC, ingin aku coretkan secangkir kisah yang melingkari hati. Kesedihan bertandang meraut seluruh rasa membuatkan aku tak betah untuk memulakan apa sahaja. Serasanya ingin sahaja aku mengisi masa dengan bermenung seharian di rumah namun apalah dayaku yang bekerja makan gaji. Biar ku nukilkan agar sedikit sebanyak terlepas beban kesedihan yang kutanggong. Petang semalam setelah 9 hari cek dan ayah bertamu di rumah, aku perlu melepaskan dia pulang ke laman kelahiran. Ya di tempat sebahagian diriku dibersarkan. hujan yang renyai turun seolah memahami hati ini sedang menangis pilu. Sepulang aku dari kerja, di tempat biasa suami memarkir motor kutemui Danial dan ditemani cek sedang bermain sambil menunggu kami. pastinya Danial ingin membonceng motor menjemput Adam di sekolah. namun kerana luka di tangan akibat terjatuh semasa berbasikal dan hujan abah tidak membenarkan dia ikut bersama. pastinya ku akan terkenang semasa pulang di saban petang. inilah kesakitan yang sedang ku alami. perlu berjauhan dari anak kedua yang begitu manja dan punyai pelbagai kerenah.

naik sahaja ke rumah, dia merajuk di dalam bilik ku. badan dihempas ke tilam, menekup muka sambil menangis. tak betah untuk aku pujuk kerana hatiku turut menangis sama mengenangkan perpisahan yang bakal terjadi sedikit masa lagi. kugagahkan jua melayani kerenah dia di kala badan keletihan dan perasaanku yang bungkam. sekembalinya abah dari menjemput Adam, sedikit sebanyak meredakan rajuk Danial. abah mengangkat Danial ke ruang tamu kerana aku tak mungkin berbuat demikian dek kandunganku yang sudah beranjak ke 6 bulan. setelah menjamah nasi lemak kukus yang ku pesan, kami bersiap-siap untuk menghantar Danial, cek dan ayah ke stesen bas Kajang. Sebelum itu, sempat abah membawa Danial ke rumah aki dan wan pengasuh sementara Danial untuk bersalam-salaman. apa yang membuatkan aku terkilan, Danial merajuk dan tidak benarkan aku menyapu minyak gamat pada lukanya. namun yang lebih membuatkan aku walang, jari kelingking Danial bengkak kerana digigit serangga dipercayai lebah namun tak sempat aku rawat dan ubati. berkali-kali ku titip pesan pada cek agar segera membawa Danial ke klinik sebaik tiba di Kelantan. Jarinya bengkak, membesar, panas dan tidak boleh dibengkokkan. Semoga cepat permata hati ummi sembuh. Kami tidak menunggu bas memutar roda, sebalinya terus pulang kerana ditakuti kolam mataku yang bertakung si airmata akan pecah bila-bila masa. di rumah kumembaringkan diri bagi menghapus resah di dada. Jika aku punya rezeki berlebihan, mahu saja ku pulang ke kampong saban minggu menjenguk permata hati tanpa menghirau keletihan dan keuzuran diri. Semoga Allah melindungi insan-insan yang menjadi kesayanganku.

Monday, October 9, 2017

TUHAN TABAHKAN HATIKU!

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Salam hari isnin.
Ya Allah sesungguhnya aku benar-benar sedih hari ini. entah mengapa di dinding FB tak mampu kucoret bahasa luka ku. Sebenarnya aku malas nak mendengar jika ada yang bertanya tentang status yang bakal aku update di sana. Di sini aku bebas bercerita kerana blog ini masih lagi menjadi rahsia. Entah apa malang menimpa nasib ku! Selalu ada wujud pertelingkahan antara kai. Angkara sedikit hal dia memarahiku. Mengheret aku untuk menangis sehingga ke tengah malam. Terlena aku dengan rendaman air mata. Apa kerana kekurangan diri ini sebenarnya yang telah mendera perasaan hatinya. serasa-rasa aku begitu banyak kelonggaran yang kuberi demi menjaga keharmonian hubungan ini. Namun tetap aku yang dipersalahkan. hanya gara-gara aku menegur sedikit kelemahannya dalam membantu ku melakukan tugasan pejabat. Ku tidak memaksa andai dia tak mampu. Tapi dia lantas dan lancing membentak aku. Tergamaknya abang buat ayang begini! Ayang tak berniat menjatuhkan marwah abang, tapi ini yang abang beri pada ayang. Ayang terpaksa menulis di sini demi mengubat lara hati yang abang tinggalkan buat ayang. Semoga ayang tak khilaf dalam menghormati abang sebagai seorang suami.

Nak mengharap abang dating memujuk diri ayang memang jauh sekali. Saban kali perkelahian kita ayang terpaksa memendam dan menelan setiap perlakuka abang yang menolak ayang jauh ke tepi. Berkali-kali ayang meminta maaf andai setiap kesalahan itu ayang puncanya. Tetapi layanan hambar tetap abang persembahkan pada ayang. Ayang sentiasa mengorak senyum walau hati ini menangis dan menjerit kerana pedih terluka. Segala yang ayang korbankan kini tak bermakna lagi buat abang. Abang dah campakkan inajauh ke tepi. Perlahan-lahan abang bunuh rasa hati ayang ini. Apakah abang mahu ayang menjadi tawar andai tiba masanya nanti. Ayang mungkin boleh menjadi seketul batu yang membeku dengan apa juga keadaan abang. Pdahal ayang benar-benar cuba untuk memelihara kesucian hubungan ini. Ayang cuba merubah diri ini agar lebih matang dalam mengharungi dugaan berumahtanga. Namun seringkali abang yang menodai usaha ayang ini. Tak apalah mungkin ayang belum cukup bererti dan bermakna pada pandangan abang. Semoga Allah terus kuat dan cekalkan hati ayang ini. sebelum ayang menulis coretan ini, ayang tak punya semangat untuk melakukan tugasan pejabat. Ayang terpaksa coret di layar putih ini agar kesedihan ini pergi seketika dan ayang boleh seperti biasa melakukan tugasan pejabat yang masih memerlukan tindakan segera dari ayang. Ya Allah sejahterakan suamiku walau di mana dia berada. Aamiin!