Wednesday, February 15, 2017

HEBATNYA KUASA CINTA DI BULAN CINTA

nah ini dia artikel yang telah saya janji untuk di post ke dalam blog selepas penerbitan di majalah PP. sudilah kiranya untuk dibaca. setinggi-tinggi terima kasih dan jutaan penghargaan khusus buat puan Roslinda atas kesudian menggarap kisah saya untuk penerbitan koleksi majalah Karang Kraf kali ini.

coppy paste semata-mata. tiada sebarang pengubahan dilakukan bertujuan untuk mengekalkan teks asal.

 

‎message, Benarlah kata orang, kuasa cinta mampu mengatasi segala-galanya. Hadirnya tanpa diundang dan memberi sejuta rasa kerana cinta merupakan satu perasaan yang terbit dari hati yang penuh keikhlasan dan kejujuran. Semua orang berhak untuk mencintai dan dicintai. Walaupun kewujudan cinta tidak mampu untuk dilihat namun keikhlasan rasa cinta mampu membangkitkan seribu kekuatan dalam jiwa dan diri seseorang manusia. 

Walaupun hilang daya penglihatan sejak dilahirkan, kekurangan yang dialami oleh Mas Suni binti Mat Husin yang kini bertugas sebagai Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat Jabatan Kebajikan Malaysia Negeri Selangor tidak menghalangnya untuk merasai nikmat cinta dan bertemu jodoh dengan lelaki pilihan, Mohd Idrus bin Ibrahim, seorang pemandu lori. Ternyata perasaan cinta dan sayang Idrus terhadap isterinya tidak tergugat sama sekali meskipun Mas Suni tidak seperti wanita normal yang lain. Tidak mengharap pasangan yang sempurna, cukuplah Idrus merasakan kesempurnaan apabila bersama Mas Suni. 

Sememangnya cinta sejati pasangan ini bukan lahir disebabkan oleh rupa paras mahupun fizikal semata-mata tetapi cinta mereka lahir kerana keikhlasan hati dan saling melengkapi antara satu sama lain. Sempena tema cinta pada edisi kali ini, kami bawakan kepada pembaca semua kisah cinta istimewa pasangan Mas Suni dan Idris. 

Aku Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sejak dilahirkan. Peringkat awal aku masih boleh melihat sedikit, namun penglihatanku hilang sepenuhnya ketika aku berusia 12 tahun. Seperti insan-insan lain, aku juga ingin hidup berpasangan. Syukur ke hadrat Ilahi apabila aku dijodohkan dengan insan yang memahami keadaanku. 

Jalinan kasih yang terbina sejak kami diijabkabulkan sebagai pasangan suami isteri pada tanggal 26 Februari 2009 bertambah ceria apabila hadirnya dua orang cahaya mata yang paling kami sayangi. Sememangnya dua orang putera menjadi pengarang jantung dan mengikat kasih sepanjang tempoh lapan tahun kami melayari bahtera rumah tangga. 

PERKENALAN TANPA DIDUGA

Aku mengenali suami kira-kira 10 tahun yang lalu ketika kami sama-sama bekerja di Persatuan Orang Buta. Ketika itu aku bekerja sebagai eksekutif manakala suamiku pula sebagai pemandu pejabat. Tanda diduga perkenalan aku dan suami bertambah akrab. Keikhlasan Idrus untuk mengenali aku dengan lebih mendalam dan menerima kekurangan yang aku alami membuatkan aku selesa berkawan dengannya. 

Aku sedar dalam menjalinkan hubungan, tidak semua orang akan menyokong kita. Begitu juga dengan kami apabila di peringkat awal hubungan aku dan Idrus mendapat kritikan daripada rakan-rakan. Walau apa pun yang berlaku, kami sentiasa positif dalam hubungan ini dan terus berkawan. Malah kami juga tanamkan matlamat untuk berkahwin dan mahukan yang terbaik dalam hubungan ini. 

Aku bersyukur kerana Idrus tidak memandang fizikal aku semata-mata sebaliknya Idrus melihat aku sebagai seorang yang sangat memahami dirinya, selain menjadikan aku sumber kekuatan untuknya. Malah Idrus juga sanggup berkongsi susah senang denganku sehingga membuatkan aku terpikat dengan keikhlasannya.   

TERIMA TENTANGAN KELUARGA

Setelah lama berkawan pastinya kami ingin menghalalkan hubungan yang dibina. Aku memberitahu keluarga tentang hubungan aku dan Idrus. Pada mulanya keluarga aku agak terkejut namun mereka tidak terus membantah. Setelah mendapat lampu hijau daripada mereka, kami mengatur strategi untuk keluarga aku mengenali Idrus secara mendalam. 

Di pihak Idrus pula lain kisahnya. Hubungan kami mendapat tentangan daripada keluarga Idrus. Ternyata mereka tidak dapat menerima aku sebagai pilihan menantu. Walau bagaimanapun kami cekal menepis segala halangan yang mendatang dan tekad untuk berkahwin. 

Kami juga tidak melatah dan menyerahkan jodoh kami kepada Ilahi. Segala persiapan kami uruskan sendiri kerana kami sudah menjangka apa yang bakal berlaku di kemudian hari. Kami sedaya upaya mahu dinikahkan agar terhindar dari murka Allah. Hal-hal lain kami ketepikan. Kami bulatkan niat untuk meraih reda Ilahi agar segala-galanya dipermudahkan.

Alhamdulillah berkat kesabaran dan janji yang kami pegang, kami lalui halangan ini dengan tenang. Tiada apa yang dapat aku katakan, selain memanjatkan rasa syukur setelah kedua-dua belah keluarga merestui hubungan kami.

SUAMI BANYAK MEMBANTU

Setahun berkahwin, aku disahkan mengandung anak pertama. Alangkah gembiranya hati kami kerana rumah tangga kami bakal diserikan dengan kehadiran si comel ini. Pada 27 Mac 2010, lahirlah putera sulung kami yang diberi nama Muhammad Adam Arfanhakim. 

Pertama kali menguruskan anak pertama nyata memberi satu pengalaman baharu dalam hidup aku, apatah lagi aku OKU penglihatan. Walaupun sukar namun aku cekalkan diri menguruskannya sendiri tanpa sebarang bantuan ketika 45 hari usia Adam dilahirkan. Nasib ketika itu aku tidak bekerja dan ini memudahkan urusanku di rumah. 

Tahun berganti tahun, pada 6 Disember 2011 aku disahkan mengandung anak kedua, juga seorang lelaki comel yang diberi nama Muhammad Danial Afihakim. Sama seperti abangnya, aku selesa menguruskan sendiri selepas 18 hari Danial dilahirkan. Terasa satu kepuasan apabila aku sebagai ibunya yang menguruskan anak-anakku biarkan aku serba kekurangan. 

Dalam soal pengurusan rumah tangga, aku juga sama seperti isteri-isteri lain. Aku menguruskan keperluan suaminya sendiri. Pakaian suami aku gosokkan, makan dan minumnya aku sediakan, malah mengemas dan mencuci juga aku lakukan sendiri. Alhamdulillah, aku mendapat seorang suami yang cukup memahami dan tidak cerewet, malah suaminya sentiasa ringan tulang.

Kami juga banyak melakukan kerja rumah bersama-sama. Suamiku sedia membantuku bila-bila masa yang aku perlukan. Ternyata kami saling memerlukan dan saling melengkapi antara satu sama lain. Suami juga banyak mengajar aku melakukan kerja-kerja rumah. Kami saling bertukar ilmu. Sememangnya kehidupan berumah tangga kami berdua cukup bahagia apatah lagi dengan adanya anak-anak.

PERANAN KOMUNIKASI PENTING Untuk mengecapi kebahagiaan dalam hubungan sesebuah rumah tangga, peranan komunikasi sangatlah penting. Kami sentiasa mengelakkan diri dari jurang komunikasi yang panjang. Dalam menyulam cinta dan kasih sayang agar rumah tangga kami kekal harmoni, kami saling terbuka untuk mendengar sebarang kritikan dan sentiasa memperbaiki kelemahan yang timbul.

Malah kami juga percaya yang kami berdua saling memerlukan dan saling mempercayai antara satu sama lain. Rakan aku adalah rakan suami dan rakan suami adalah rakanku. Kami saling mengenali rakan masing-masing. Kami juga tidak sesekali mendedahkan urusan rumah tangga kepada mana-mana pihak. 

Aku bukanlah orang yang pandai memberi nasihat. Namun sekiranya ada pasangan di luar sana yang mempunyai kisah cinta sama seperti aku dan suami, sangatlah penting untuk anda belajar memahami dan menerima pasangan. Hargailah setiap kebaikan pasangan dan elakkan daripada menjatuhkan maruah pasangan. 

Agar hubungan anda sentiasa diberkati, paling penting jagalah hubungan keluarga pasangan anda dengan baik. Walau apa pun yang berlaku, jangan sesekali memburukkan keluarga pasangan. Semoga dengan adanya doa keluarga anda dan keluarga mertua, ikatan akad ini akan terus berkekalan hingga akhir hayat., 4:32 PM

No comments:

Post a Comment