Saturday, January 21, 2012

Tudung Natasya

Pasar malam Pantai Timur Hiper Market Pengkalan Chepa. satu lokasi beli-belah yang tidak asing lagi bagiku. pasar malam ini akan menjelang setiap kali hari Sabtu. terdapat pelbagai barangan untuk dipilih di samping aneka juadah untuk dinikmati. aku sering ke sini, jika aku teringin membeli baju mahupun tudung yang menjadi kegemaranku. harga yang diberi cukup menarik perhatian apatah lagi jika berlaku proses tawar-menawar antara pembeli dan peniaga. jika hari sebelumnya, iaitu Jumaat, aku meninjau ke pasar raya Tesco bersama suami, 2 anak, kakak dan 3 anak saudaraku, satu barang pun tidak menarik perhatianku. aku berhajat benar membeli koleksi tudung terkini. sudah lama rasanya, aku tidak membeli-belah pakaian untuk diriku. kali terakhir rasanya, pada hari raya puasa lepas.

setelah penat berpusing di sekitar tingkat bawah, kami naik pula ke tingkat atas. harga yang ditawarkan tidak begitu berbeza dengan yang di butik. akhirnya, aku memutuskan tidak membeli di sini. untuk tidak menghampakan, aku turun semula ke bawah dan singgah ke kedai donut "big Apple" sebuah kedai menyediakan pelbagai jenis donut dan sangat terkenal di Kuala Lumpur. kami menikmati bersama-sama dan kelihatannya anak saudara ku Ainie yang berusia 6 tahun cukup gembira. hampir pukul 9.00 malam baru kami tiba di rumah kakak setelah 5 jam berjalan-jalan.

berbalik ke cerita tudung, setelah melalui beberapa buah kedai, dapat kubeli sehelai tudung natasya berwarna ungu. harganya sangat berpatutan. selain itu, aku juga membeli sehelai kain pasang jenama Ivon menurut peniaganya paten terkini. kain tersebut bukan buatku tapi ikhlas ingin kuberi pada kakak yang sudi menjaga serta merawat aku dan permata hati semasa dalam pantang lepas. tak terlupakan, terima kasih banyak buat suami yang sangat mengerti dan menghargai setiap keinginanku.

No comments:

Post a Comment