Ilmu
masuk mencurah-curah ke dalam telefon pintar bak hujan mengalir deras tanpa
perlu menunggu kuliah di masjid dan surau. Begitu pun, fitnahnya juga tidak
kurang hebat kerana sindrom “kemaruk berkongsi tazkirah dan informasi” tanpa
tapisan. Pantang ada tazkirah yang diterima terus mahu dikongsi. Tanpa sedar
rupanya yang disangka mutiara ilmu adalah hadis dan fakta palsu yang sangat
beracun untuk minda.
Antara
tazkirah media sosial yang sangat popular saat ini adalah tazkirah ajaib
berkaitan kepulangan roh manusia pada bulan Ramadan. Setakat yang dilihat,
pihak yang menyebar mesej ‘Kepulangan roh pada bulan Ramadan’ tidak menyatakan
dalil atau hujah yang sahih atas dakwaan tersebut. Mungkin ini berpunca
daripada salah faham terhadap makna perkataan ‘roh’ dalam ayat keempat surah
al-Qadar yang bermaksud: Pada malam itu, turun malaikat dan ‘roh’ (iaitu
Jibril) dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang
ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut). (rujuk al-Qadar: 4)
Roh
dalam ayat ini bukan roh manusia seperti yang disangka, tetapi suatu gelaran
kemuliaan kepada malaikat Jibril. Bukan sekali Jibril digelar ‘roh’ oleh
al-Quran tetapi berkali-kali (al-Baqarah: 87 & 253, al-Ma’idah: 110,
al-Nahl: 102, al-Syu’ara’: 192-193 dan al-Naba’: 38)
Selain
itu, wajib diingat perihal roh adalah rahsia Allah yang tergolong dalam urusan
ghaib. Pengetahuan kita mengenainya pun sangat sedikit, jadi usahlah terlebih
bijak daripada Allah. (rujuk al-Isra’: 85)
Sebarang
bicara mengenai yang ghaib wajib bersandarkan sumber wahyu seperti al-Quran dan
hadis sahih. Tidak cukup sekadar berkata ‘ia ada disebut dalam kitab’ atau ia
pernah dikongsi oleh Pak Ustaz dalam media sosial. Fahamilah disiplin ilmu
Islam ditegaskan melalui surah al-Naml ayat 65.
Al-Quran
menegaskan roh orang yang sudah mati terkurung di alam barzakh sehingga kiamat.
Tidak boleh balik semula ke dunia, tidak untuk balik mengutip ‘pahala-siswa’
pada bulan Ramadan atau malam Jumaat dan jauh sekali untuk pulang menjadi hantu
membalas dendam. Akurlah kepada firman Allah ini pada surah al-Mu’minun ayat
ke-99 hingga 100.
Malahan
barzakh itu sendiri dalam takrifnya bermaksud dinding pemisah yang menghalang
roh si mati daripada kembali ke dunia. (Tafsir al-Jalalayn)
Jika
dikata yang bebas adalah roh manusia yang beriman. Apa dalilnya? Tambahan pula
nikmat alam barzakh yang dirasai orang beriman jauh lebih hebat daripada nikmat
duniawi. Jadi apa perlunya mereka pulang ke dunia mencari yang biasa serta
meninggalkan yang istimewa? Jika dikata pulang mereka adalah untuk mengutip
pahala sedekah anak cucu, maka jawabnya penyaluran pahala boleh sahaja
dialirkan terus ke alam barzakh tanpa perlunya mereka balik.
Jika
dikatakan ada hadis sahih menyebut orang yang sudah mati masih mampu mendengar
sebagaimana bicara Nabi SAW kepada bangkai kafir quraysh yang terbunuh selepas
perang Badar (Sahih Muslim), maka fahamilah hadis itu dengan betul. Rasulullah
SAW menyatakan mereka mampu mendengar dan bukannya mampu balik ke dunia selepas
mati.
Jika
dikatakan ada riwayat menyebut orang hidup bermimpi bertemu orang mati, perlu
difahami ini juga bukan dalil roh si mati pulang ke dunia. Ini adalah pertemuan
di suatu alam yang hanya Allah sahaja tahu. Sebahagian ulama menyebut ketika
manusia tidur, Allah mempertemukan roh orang yang hidup dengan roh orang yang
sudah mati di suatu alam bandingan yang dikenali sebagai ‘alam mithal’ dan
bukannya roh si mati itu kembali ke dunia. Prinsip perbincangan mengenainya
berpaksi pada ayat ke-42 surah al-Zumar.
Jika
dikatakan ada sebuah hadis lemah menyebut mengenai kepulangan roh pada bulan
Ramadan, maka jawabnya hadis lemah tidak boleh menjadi hujah agama, apatah lagi
untuk menyanggah ayat 99 dan 100 surah al-Mu’minun di atas.
Begitu
pun, walau berjela diberikan hujah naqli (wahyu) dan aqli (logik) menafikan
kepercayaan karut ini, orang jahil yang tiada disiplin ilmu Islam akan
menyanggah dengan ayat `seribu guna’ mereka iaitu: “Ia tidak mustahil pada
kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh sahaja Allah dengan
kuasanya yang tidak terbatas membebaskan roh yang beriman pada bulan Ramadan
atau malam Jumaat.”
Jika
begitu logik mereka, maka ini jawapannya: “Malam tadi saya didatangi Jibril as.
Jibril memeluk saya erat sambil mengajarkan saya surah al-‘Alaq. Sejurus
selepas itu saya dilantik sebagai nabi akhir zaman selepas Nabi Muhammad SAW.”
Menyanggah
hukum
Jadi,
anda semua perlu beriman kepada kerasulan saya. Jika ada yang tidak bersetuju
dengan perlantikan saya sebagai Rasul, maka ini hujah ‘seribu guna’ saya: “Ia
tidak mustahil pada kekuasaan Allah kerana Allah itu Maha Berkuasa. Boleh
sahaja Allah dengan kuasanya yang tidak terbatas melantik saya sebagai Nabi
akhir zaman selepas Nabi Muhammad.”
Inilah
antara contoh ‘disiplin caca-marba’ dalam agama yang diguna pakai oleh
sesetengah orang jahil. Memang Allah Maha Berkuasa untuk melakukan apa sahaja,
tetapi perlu dipahat kemas dalam hati bahawa Allah juga sudah meletakkan
sunnatullah atau undang-undang-Nya yang tidak akan diubah. (rujuk al-Ahzab: 62)
Antara
sunnatullah yang tidak akan berubah sampai kiamat adalah Nabi Muhammad SAW
adalah nabi dan rasul terakhir. Juga roh orang yang sudah mati tidak boleh
pulang sama sekali ke dunia untuk apa sahaja tujuan.
Sebarang
dakwaan menyanggah hukum dan undang-undang Allah ini wajib ditolak. Jika tidak,
agama suci ini akan jadi ‘agama secukup rasa’ yang bergantung kepada
penganutnya. Jika mahu lebih pedas tambahlah cilinya. Jika mahu lebih masin,
tambahlah garamnya. Jika mahu lebih manis, tambahlah gulanya. Jika ini disiplin
memahami agama ini, hilanglah keagungannya dan runtuhlah kegemilangannya.
Wallahualam...
Semoga
mendapat Manfa'at dari perkongsian ini..
No comments:
Post a Comment